Thursday, June 20, 2013

Perjalanan Anak Manusia

Assalamualaikum

Leen ingin berkongsi dgn mommies semua. Cerita Nuri Supian dari Mingguan Wanita keluaran Oktober 2012 berkenaan Perjalanan 'bidadari kecil' bernama Nuha. Semoga ia dapat mengubati hati Leen dan mommies2 semua. InsyaAllah


"Perjalanan anak manusia ada pelbagai ragam. Sewaktu Allah menghembuskan roh ke dalam jasad, ketika itu bermulalah destinasi, atau ia sekadar memberi pengalaman sementara kepada ibu si pemilik 'Rahim' untuk menikmati denyut jantung seorang anak manusia, hanya Dia yang mengetahui.


Bagaimanapun kesudahannya perjalanan anak manusia itu menuju destinasi, ia tetap mengikut perintah Yang Maha Esa. Jika dalam perjalanan itu dia dijemput pulang oleh Pemiliknya yang abadi, biarpun belum sempat sampai ke pintu Rahim, dia harus redha. Perjalanan sementara itu bukan perjalanan yang sia-sia... Dia tidak tewas dalam perjalanan, tetapi dia datang sekejap kerana mahu memberitahu si ibu pemilik rahim tempatnya bersemayam biarpun sementara, bahawa dia pulang ke sana kerana mahu menjadi 'bidadari syurga' menanti si ibu dan ayah di sana kelak.

Kedatangannya yang sekejap itu, bukan sebagai ujian tetapi sebuah anugerah besar yang menanti di sana. Jangan gusar.

Kedatangannya yang sekejap itu bukan untuk ditangisi tetapi untuk memberikan secebis senyuman bahawa dia sudah berdaftar menjadi milik kekal di sana...


 
"Ayah bonda yang berasa sedih kerana kehilanganku, kesatlah air mata itu kerana kehadiranku yang sekejap itu untuk memberimu khabar gembira, bukan khabar duka. Usah bimbang pada kehilangan sementaraku ini, kerana aku tetap wujud di hatimu sampai bila-bila. Aku yang sudah kau hadiah sebuah nama indah sebelum menghantarku kembali ke alam 'sana' amat berterima kasih kerana walaupun sekejap , aku sudah bernama di sini."

"Datangku tanpa nama tetapi kembaliku sempat diberikan tanda. Nuha, indahnya nama itu. Kubawa nama pemberian ayah bonda ke alam sana agar nanti mudah mencariku dengan nama itu, apabila kita berkumpul kelak di sana..."

Catatan kecil ini sengaja saya ukir sebagai penawar duka kepada sepasang ayah bonda yang baru kehilangan 'bidadari kecil' mereka, setelah sekian lama menanti kedatangan itu. Nuha memang dipinjamkan sementara kerana ketika dilahirkan, dia tidak sempat mengalunkan indah dan gemeresik suaranya di pendengaran ayah dan ibunya, kerana dalam pengembaraannya sebagai anak manusia, dia kembali menemui Pencipta-Nya. Namun 'bidadari' ini sempat memberi sebuah kebahagiaan kepada pasangan muda itu.

Bagi anda yang lain, mungkin mengalami peristiwa yang sama, percayalah Allah telah memberikan kurnia-Nya kepada insan terpilih. Redha dan yakin bahawa kurniaan itu akan menjadi saham akhirat yang bakal memimpin tangan anda di Jannah apabila tiba masanya kelak. Air mata sedih anda hari ini, akan bertukar menjadi air mawar di sana kelak. Ingat bukan semua hamba-Nya terpilih seperti anda dan tabahlah menghadapi perpisahan sementara ini... Saya hanya mampu mendoakan agar anda tabah.


DARI TINTA

NURI SUPIAN"



Semoga Allah akan menggantikan kita dengan kurniaan yang lebih baik selepas ini. Amin Ya Robb

No comments:

Post a Comment

Thanks babe for leave a comment